PERMAINAN TRADISIONAL GALAH PANJANG

PERMAINAN GALAH PANJANG


            Asal usul permainan ini sukar untuk diketahui dan siapakah yang menciptanya. Ini disebabkan permainan galah panjang ini telah bermula seawal tahun 1960-an dan terus berkembang ke serata Tanah Melayu. Permainan in bukan sahaja dimainkan di Tanah Melayu tetapi juga di negara-negara lain seperti Brunei, Singapura dan Thailand. Namun begitu, permainan dan cara permainan berubah mengikut masyarakat setempat.

            Permainan galah panjang adalah sejenis permainan yang melintasi garisan-garisan melintang berhalang. Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain berlari melepasi halangan. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak, remaja, dewasa dan tidak mengira jantina serta bilangannya seramai 10 orang yang boleh berubah-ubah. Permainan ini melibatkan kepakaran seorang ketua atau ibu untuk mengawal gerakan anak buah.

       Permainan ini dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah lapang dan rata. Gelanggang yang dibuat mengandungi 2 jalur. Contohnya pemain 10 orang, gelanggang yang dibuat mempunyai 4 baris. Pemain terdiri daripada regu iaitu tiap-tiap regu mestilah lingkungan 5-10 pemain di dalam satu regu dan terdapat satu pemain simpanan. Masa permainan bergantung sepantas mana pemain dapat merempuh atau melintasi halangan ke pihak lawan. Syarat permainan adalah jika penjaga gelanggang dapat menyentuh anak buah, maka anak buah akan mati atau tamat gilirannya bermain dan dikehendaki keluar gelanggang. Seterusnya, jika penjaga gelanggang menyentuh ketua, maka seluruh ahli penempuh akan tamat giliran dan akan bertukar giliran antara penjaga dan penempuh.

           Cara bermain permainan galah panjang adalah gelanggang galah panjang di lakar di tanah yang lapang. Panjang dan lebar bergantung kepada pelukis garisan dan pemain. Selalunya satu petak galah panjang berukuran lebih kurang 2meter x 1.5meter. Selepas pemilihan dilakukan, setiap kumpulan akan melakukan pemilihan ketua. Ketua dari kedua-dua kumpulan akan mengundi siapa yang menjaga gelanggang dan siapa yang menempuh gelanggang. 

       Selepas penentuan, kumpulan yang menjaga gelanggang akan menjaga gelanggang dengan berpijak diatas garisan yang dilukis tadi. Ketua akan menjaga garisan tengah dan bebas pergi kemana-mana garisan depan atau belakang. Kumpulan menempuh gelanggang akan berkumpul di depan, seterusnya ketua akan menyapa tangannya dengan ketua pihak lawan. Seterusnya mereka berlari masuk ke dalam gelanggang. Penjaga akan menjaga kawasannya agar pihak penempuh tidak melepasi garisan yang dijaganya. Penempuh akan menempuh sampai melepasi garisan paling akhir tanpa disentuh oleh penjaga gelanggang dan kemudiannya berpatah balik. Kemenangan tercapai apabila orang yang telah melepasi garisan paling akhir melepasi garisan permulaan dan permainan diteruskan sehingga ada pemain yang ingin berhenti.

      Kesimpulan, permainan galah panjang ini dapat menguji ketahanan fizikal seseorang dan kemahiran dalam sesuatu permainan. Hal ini akan menyebabkan seseorang itu boleh belajar pelbagai kemahiran dalam satu masa. Sebagai generasi muda, kita haruslah mempopularkan semula permainan kecil ini agar tidak terus dilupakan oleh generasi akan datang serta tidak ditelan dek zaman.



Comments

Post a Comment